Sabtu, 21 Julai 2012

PENGGANDAAN

Petikan

Baca dan fahami petikan di bawah ini.   
            Cuaca pagi itu amat indah. Remang-remang cahaya matahari menembusi rimbunan dedaun mangga di halaman rumahku. Angin yang bertiup sepoi-sepoi amat menyegarkan. Aku berehat sendirian selepas menikmati sarapan enak yang disediakan oleh ibuku pagi itu. Kedua-dua ayah dan ibuku sejak pagi telah ke dusun melihat-lihat putik durian memenuhi dahan-dahan dan batang pepohon durian milik kami sekeluarga. Aku membelek-belek tajuk-tajuk utama akhbar semalam. Aku tertarik oleh berita tentang kejadian lemas ketika banjir yang melibatkan seorang kanak-kanak Orang Asli berumur dua tahun di Kampung Senibai. Berita itu membuat aku berasa simpati kepada ibu bapa kanak-kanak tersebut. 
            Tiba-tiba aku terdengar namaku dipanggil. Aku menoleh ke jalan raya di hadapan rumahku. Rupa-rupanya Nazri dan Hamid telah datang. Mereka mengajak aku ke sungai kira-kira 500 meter dari rumahku. Sebenarnya aku teringat akan pesanan ibu supaya tidak meninggalkan rumah. Kakak telah ke Kuala Pilah untuk membeli-belah dan abang pula ke sekolah kerana ada latihan kawat kaki. Tambahan pula aku ada kerja sekolah yang perlu disiapkan selewat-lewatnya sebelum ke sekolah esok.  
            Akhirnya Nazri dan Hamid berlalu tanpa aku. Walaupun gagal mengajak aku, mereka masih lagi riang menuju ke Sungai Temuar. Aku nampak mereka berlari-lari kegembiraan. Sebenarnya kami memang biasa mandi-manda sambil terjun tiruk di sungai itu. Aku bayang-bayangkan betapa seronoknya mandi di sungai. Tambahan pula air sungai agak dalam selepas hujan malam tadi. Memang aku suka berenang ketika air dalam. Rasanya hendak aku ikut mereka jika aku tidak teringat akan perintah ibuku itu. 
            Tidak lama kemudian, aku terdengar riuh-rendah di jalan raya. Orang ramai berlari menuju ke arah Sungai Temuar. Aku juga nampak ibu Nazri dan ibu Hamid menuju ke sungai sambil menangis. Aku juga terdengar suara meminta supaya dipanggil pihak polis dan ambulans. 
            Rupa-rupanya Nazri telah dihanyutkan arus deras. Hamid tidak sempat menolongnya kerana kejadian itu berlaku dalam sekelip mata sahaja. Lima minit kemudian, aku lihat ambulans dan anggota polis tiba di tempat kejadian. 
Penggandaan 
Menurut Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (1993, halaman 77) proses penggandaan dalam bahasa Melayu adalah proses menggandakan kata dasar. Dalam proses demikian, kata dasar boleh mengalami penggandaan penuh, penggandaan separa atau penggandaan secara berentak (berdasarkan rentak bunyi tertentu). Umumnya, dalam bahasa Melayu terdapat tiga jenis penggandaan, iaitu:   
i.      penggandaan penuh
ii.     penggandaan separa
iii.   penggandaan berentak 
Cuba lihat, proses penggandaan dan perkataan daripada proses penggandan tersebut.

Tiada ulasan:

Sky Blue Bow Tie