Jumaat, 27 Julai 2012

Sajak Seorang Guru - Usman Awang



BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Selasa, 24 Julai 2012

Jom kita berteka-teki !


Terbang tinggi si burung helang
Hinggap di atas pohon meranti
Anak ramai ibunya seorang,
Bila bergesel berapi-rapi?

Jawapan: Mancis

Ada tubuh ada tangan,
Tiada kepala tiada kaki;
Sangat berguna waktu hujan,
Apakah dia yang dimaksudkan ini.



Jawapan: Baju Hujan

Buah budi bidara mengkal
Masak sebiji di tepi pantai
Hilang budi bicara akal
Buah apa tidak bertangkai?

Jawapan: Buah Hati

Budak-budak ramai di pekan
Hari raya membakar petas
Kalau adik pandai kiasan
Apakah buah gugur ke atas?

Jawapan: Buah Melaka

Tinggi duduk di atas sekali,
Bukan bulan bukan matahari;
Bila malam ia berseri,
Bila siang ia berganti.

Jawapan: Bintang

Tarik pukat dari pangkalan,
Gula Melaka dibuat inti;
Bila diikat ia berjalan,
Bila dibuka ia berhenti?

Jawapan: Kasut Bertali

Cik Limah bersama anak lelaki
Duduk makan keropok lekor
Yang mengejar tidak berkaki,
Yang dikejar tiada berekor?

Jawapan: Ular Dan Katak

Pergi umrah setiap tahun,
Moga sentiasa murah rezeki
Dalam batang ada daun,
Dalam daun ada isi?

Jawapan: Lemang

Bila kecil boleh ditiup,
Sudah besar janganlah lagi,
Kalau tercucuk ia meletup,
Kalau terlepas terbangnya tinggi.

Jawapan: Belon

Mulut manis hati nak baik,
Itulah amalan turun temurun;
Benda apa yang akan naik,
Apabila saja hujan turun.

Jawapan : Payung

Walau dibungkus bukan kiriman,
Sudah takdir tuhan yang satu,
Meski ditanam bukan tanaman,
Cubalah teka apakah itu?

Jawapan: Mayat

Hidup aman di dalam kota,
Ada pemimpin bernama raja;
Buruh-buruh rajin bekerja,
Askar bertugas setiap masa.

Jawapan: Anai-anai/Semut


Ahad, 22 Julai 2012

PENULISAN : BERITA

  1. Berita ialah karangan berformat
  2. Karangan ini memerlukan penjelasan atau maklumat tentang sesuatu kejadian seperti kemalangan, bencana alam, kebakaran, aktiviti dan sebagainya.
  3. Biasanya berita disediakan oleh wartawan atau pemberita yang membuat liputan tentang sesuatu peristiwa.
  4. Untuk menghasilkan sesuatu berita, murid perlu menjawab persoalan seperti apa, bila, siapa, berapa, di mana, bagaimana dan mengapa.
  5. Berita dimulakan dengan menyatakan tempat dan hari atau tarikh kejadian.
  6. Bentuk atau format berita perlu dipatuhi.
Contoh karangan berita.
SELANGOR, Ahad - Suatu kejadian tanah runtuh telah berlaku di Bukit Antarabangsa berhampiran dengan jalan keluar ke Lebuh Raya Ulu Kelang. Kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 4.00 pagi.
Tanah dan batu-batan yang runtuh itu telah menutupi sebahagian besar jalan keluar ke lebuh raya. Pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ)melaporkanh bahawa kejadian itu berpunca daripada pergerakan bawah tanah akibat hujan berterusan sejak seminggu yang lalu.
Menurut pegawai MPAJ yang bertugas di tempat kejadian, seramai 3 orang dikhuatiri meninggal dunia berdasarkan maklumat dari keluarga masing-masing. Sehingga kini, pasukan mencari dan menyelamat SMART masih meneruskan kerja-kerja pencarian mereka.
Seramai lebih kurang 6000 penduduk terperangkap kerana jalan yang mengubungkan taman itu tertimbus. Pihak polis mengawal tempat runtuhan dan pihak tentera membuat laluan alternatif. Kerja-kerja memunggah tanah-tanah berjalan sepanjang masa. Menteri Besar Selangor, menjangkakan jalan akan boleh digunakan selepas 3 minggu.
Mangsa-mangsa yang terselamat ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Ulu Kelang. Sementara ada juga mangsa yang menumpang di rumah saudara rapat mereka. Pihak kerajaan Negeri Selangor menawarkan pakej bayaran separuh harga untuk keluarga yang ingin tinggal di Hotel De Palma, Ampang.
Satu jawatankuasa siasatan akan ditubuhkan untuk menyiasat kejadian itu dengan lebih terperinci. Berikutan dengan kejadian itu, semua projek yang melibatkan pembangunan di lereng-lereng bukit dihentikan serta merta.
Sky Blue Bow Tie